27 February 2013

Udang Lipan


Imej dari Google

Semalam terjumpa udang lipan yang dijual di pasar sehari.
Udang lipan yang tak pernah saya rasa seumur hidup.

Teringin pula bila adik ipar saya , orang Langkawi yang selalu kata sedap.
Beli , rebus dan makan .

Udang yang saya beli semalam masih segar dan bila direbus rasanya sangat manis.
Makan ratah dengan anak-anak.

Tapi berhati-hati kulitnya tajam berduri.

Beli pun tak banyak . Sekadar melepas kempunan saja.

Kolegen dari rumpai laut.


Rumpai laut yang belum diproses untuk dijadikan kolegen.

Cara memprosesnya :

Basuh bersih sebelum dimasak (rebus dengan 2 liter air) sehingga larut. 
Tapis dan simpan di dalam peti sejuk.

Bila disimpan di dalam peti sejuk keadaan larutan itu menjadi seperti jeli. 
Makan sesudu setiap pagi dan sebelum tidur setiap hari.

Rasanya sedikit hanyir . Kena telan dengan air banyak-banyak .
Baru lepas ditekak.

Baki yang tak larut boleh dijadikan masker pada muka.
Jerawat akan mudah kecut bila selalu disapu dengannya.


Sebenarnya rumpai ini terbahagi kepada gred tertentu. 
Ada  AA, dan  AAA .  

Rumpai yang berwarna ungu ini berfungsi untuk kecantikan dan kesihatan dalaman badan.



23 February 2013

Hadiah dari Langkawi


Dapat buah tangan dari adik yang balik dari Langkawi.
Di belinya di kedai Haji Ismail Group di Jeti Kuah.


Jangan tak percaya RM 10 sahaja.\
Kakaknya suka je.

22 February 2013

Bercerai kasih

Dah dua hari Shauqi tidak ke rumah pengasuhnya, umi  dan abah umi. Suami uminya dipanggil abah umi.Hari ini juga bermakna mungkin Shauqi tak akan ke rumah uminya lagi seperti  selalu.

Dua hari juga Shauqi belajar di Pra Sekolah tempat sekolah maknya mengajar.

Keadaan ini berlaku tak dirancang setelah beberapa hari lepas Shauqi tak mahu masuk ke kelas Tadika Islamnya. Bukan baru belajar di situ tapi dah bermula sejak tahun lepas lagi. Alih-alih tahun ni dia buat perangai. Mengamuk , menangis tak nak belajar di situ.

Rancangan asal biar dia di tadika Islam dulu ,tahun depan baru nak bawa ke Pra. Tak sampai hati nak pisahkan dengan umi dan abahnya. Mereka sangat baik menjaga Shauqi. Menghantar dan ambil Shauqi dari Tadika. Mandi dan siapkan Shauqi sebelum ke sekolah.Menjaga macam anak sendiri . 

Susah nak cari pengasuh yang penyayang macam tu . Dari umur 6 bulan sampai nak masuk umur  lima tahun mereka jaga Shauqi .

Bila dah masuk Pra , rancangan bertukar 360 darjah. 

Sedih pula bila ingat Shauqi nak bercerai kasih dengan umi dan abahnya.


20 February 2013

Kinohimitsu


Bukan kaki saya kaki kat google.

Sudah dua malam menggunakan pelekat kaki untuk keluarkan toksid dari badan. Sebelum nak tidur tampal dan biarkan sehingga pagi.

Kaki  terasa tak selesa jadi kena cari alternatif untuk mengurangkan rasa bisa-bisa.

Tuuuuuuuuuuuuu   dia bila bangun pagi dan tengok pelekat dah bertukar menjadi hitam dan kotor serta melekit.

Kesannya , kaki rasa lebih ringan dan bisa-bisa semakin kurang .

Alhamdullillah.

19 February 2013

Bila Shauqi masuk kedai orang India

Pertama kali bawa dia singgah kedai runcit mamak muslim.
Berdiri di depan kedai sambil lipat telinga . Lipat ???

Ya, dia lipat cuping  telinga ke depan .
Sayang tak ada gambar.

Kedai ni pasang lagu tamil. Dia tak nak dengar .
Kedai tak mau masuk, coklat nak.



Hahaah....gelakkan anak sendiri.

Ada aku kesahhh

Akibat selalu dok menyebut ada aku kesah nyaris-nyaris nak terkeluar bila budak mulut murai ni bercakap tadi.



17 February 2013

Alahai amah!

Melihat kelibat manusia yang menghayun bayi seperti menghayun anak patung membuatkan hati terasa geram. Kalau lihat pada tayangan di tv semalam memang rasa boleh mati budak tu.

 Tapi umur masih panjang. Tengoklah gambar di bawah. Sedang tidur lena macam tiada apa yang berlaku padanya pula.

Berkali-kali dihempas ke lantai. Dibuat macam kain buruk pula.  Macam orang yang tak berhati perut. Kalau orang waras tak sanggup buat kerja gila macam ni. Apa boleh buat dengan bayi berumur 4 bulan ni.  Selain menangis  sajalah.

Memang trauma kat ibu bapa dia. Kita tengok pun geram dan marah.


Gambar dari blog Fieda . Ceritanya ada di sini.

Comel budaknya.
Semoga dia tak apa-apa dan membesar dengan sihat.






16 February 2013

Mauripan.


Imej  dari google

Saya beli mauripan sepaket besar ini untuk mudah nak buat roti dan sebagainya. Sepeket ini dalam RM 8 di kedai baking. Tapi kalau setakat nak makan sendiri bertahun juga nak habis. Kalau ikutkan kuantitinya memang ekonomik berbanding beli sepeket-sepeket kecil Sepeket pun 80 sen. Kalau 10 paket dah berapa?


Ada 80 sen dan ada 70 sen sepeket.

Kalau nak tahan lama simpan dalam frezer .

Bila dah lama tak berapa elok jadinya roti dan kuih-muih.
Bantat.

Semalam buat pau , pun bantat juga. nasib baik baru sikit masuk periuk kukus. Tak boleh jadi kena pergi beli  mauripan  baru . Bila tambah  yang baru baru jadi kembang elok.

Bukan apa , sayang nak buang . Ada lagi separuh. Tak nak mengakui mauripan dah tamat tempoh. Agaknya lah sebab dah lama.

Esok nak meroti. Dah siap mauripan stok baru.

Tiba-tiba keluar tajuk ini pula.




14 February 2013

Tabung haji

Semalam pergi Tabung haji . Ma k aii , orang sampai kat muka pintu. Tunggu angka giliran takla lama sangat sebab sistem dia cepat juga.

Sambil sambil tu terpandang pakcik yang duduk kerusi depan tengah belek  buku  simpanannya . Melopong mata den aihh....dah cecah 60000  .

Tak taulah dapergi haji ke belum.

Memasing  semua yang datang nak semak bonus   yang 8 peratus tu leeeee...

13 February 2013

Tak kenal Uji Rashid

Semasa ke Pulau Langkawi masa cuti Hari Thaipusam dua minggu lepas, terserempak dengan Ciko anak bujang Uji Rashid. Masa tu kami keluar makan malam dan menghala  balik ke hotel dah. Kami berjalan kaki saja sambil menikmati kemeriahan  di situ.

Kawasan malam di sekitar Pantai Cenang hidup dengan deretan kedai-kedai yang menjual pelbagai barang. Pelancong pelbagai warna menambah hidup lagi  suasana. Bukan sekadar orang putih saja yang datang, mak-mak Arab pun ada. Di samping lampu berwarna -warni memang sangat happening.Tak membeli pun tak apa sekadar cuci mata.

Jadi masa jalan-jalan tu, maklumlah perut dah kenyang. Lenggang kangkung nak masuk bilik .Terserempak dengan Ciko. Memang dekatlah . Boleh kata berselisih bahu.

" Macam Ciko anak Uji Rashid" kata saya pada anak-anak di sebelah. Tapi depa ni tak kenal Ciko apatah lagi Uji Rashid.

Bila berdepan dengan Ciko ni taklah besar sangat badan dia . Tapi bila tengok kat tv rasa macam besar sangat . Mula-mula tu konfius juga  betul ke Ciko ni? Tak pernah tengok takut silap orang .Tapi bila ramai yang respon jumpa Ciko di Langkawi pada minggu tu , jadi betullah dia.

Jenuh dok terangkan Uji Rashid tu dulu penyanyi zaman mak kecik-kecik dulu. Haishhh......Depa tak tau juga.

11 February 2013

Barang lama.

Jangan kita pandang sebelah mata pada tin-tin minuman kosong yang dibuang ditepi jalan atau di dalam tong sampah. Rupanya ada harga . Sekilo RM 2.80 tau. Berbanding dengan buku dan kertas-kertas lama atau surutkhabar hanya 15 sen saja sekilo.

Patutlah orang sanggup selongkar tong sampah cari tin minuman dan jual. 




09 February 2013

Alhamdullillah.

Malam tadi selamat tiba di rumah puku 9 malam dari KL. Perjalanan panjang 12 jam dalam kereta akibat sesak teruk di perjalanan sempena Cuti Raya Cina.

Keluar awal pagi dari rumah abang ipar di Mandy Apartment , Segambut. Dari situ bila keluar nak masuk highway ....wah kereta dak sesak. Lalu kami keluar ikut jalan Kuala Selangor ikut jalan biasa.

Macam-macam boleh dilihat dalam kesesakan ini. Ada driver yang terhingut-hingut dalam kereta bersembang dengan penumpang  di sebelah.  Kemudian ada kereta yang masuk side tepi siap bagi lampu kecemasan dan tiba -tiba berhenti di ruang tepi nak masuk tol. Oh ! rupa -rupa anak dah terkencing dalam kereta kut. Habis ditanggal baju dan seluar. Kereta dari Singapore pun banyak yang masuk ke Malaysia semalam .

Cuba masuk highway , tersekat dalam jem lagi.Lalu cari transit keluar terdekat . Keluar balik ikut jalam lama.  Phewh... lap peluh pelan-pelan.

Kami ke KL jemput Ain balik cuti . Bukan balik terus. Lega sungguh hati mak pak dia.Sampai pun dah hampir pukul 7 petang di sekolahnya.

Alhamdullillah , Ain tak jadi bawa beg pindah  balik dari SESERI. Janji nak belajar kat situ sampai SPM. Dia pun dah ok. Tak nangis-nangis lagi. Cuma nampak kurus sikit. Syukur sangat-sangat. Cerita Ain  ada DI SINI.

Terima kasih pada teman-teman maya yang prihatin , Ibu Hani, Lady Lavender, Nekcik, dan KakNi.

Selamat Bercuti dan menyambut Tahun Baru Cina.




07 February 2013

Bukan senang memujuk hati dia.

Ini kisah anak dara saya yang baru mendaftar di Seri Puteri @ SESERI , KL. Kisah dia ada DI SINI.

Bersyukur atas rezeki dia ditempatkan di sini. Hanya dia satu-satunya pelajar lepasan PMR ditempatkan di sini dari sekolahnya yang seramai  84 orang yang berjaya mendapat 8A . Rakan-rakannya lain ditawarkan ke SBP lain antaranya  termasuk 2 orang ke Kolej Tunku Kursiah, STAR, Sekolah Integrasi dan SERATAS.

Namun selepas sehari dua kami balik , dia menelefon sambi menangis-nangis nak balik ke sekolah lama (SMK Taman Tasik , Taiping). Namun selepas dipujuk-pujuk kembali reda .Tapi hari Ahad yang lepas 3 Feb kalau tak silap, (kami di rumah kenduri) panggilan dari dia masuk ke telefon abahnya.

Menangis-nangis beria ( sebelum ni abahnya tak dengar sendiri anak menangis di talian) . Ok , ok abah pergi esok (Isnin la- hari  kerja pula )kata abah  tanpa fikir panjang. Lepas tu baru terfikir bukan senang nak pergi macam tu saja. Dah lah jauh , hari kerja pula.

Malam pula , telepon lagi. Lagi dasyat panggilan menggunakan nombor warden asrama. Ini kes berat dah ni. Padahal masa tu  larangan menggunakan telefon.

Tak boleh duduk sungguh budak ni kat sana. Kami pun pasrah  jika itu takdirnya. Namun kami bagi masa hingga Jumaat ni 8/2/12 untuk jemput dia pulang.

Terus pujuk untuk dia belajar di SESERI sambil diiring doa agar dia selesa di tempat baru. Mujur juga masa agak panjang untuk dia berfikir baik dan buruknya jika dia balik ke tempat asal. Kawan-kawan ramai dah keluar ke SBP dan bila keputusan MRSM keluar 2 hari lepas lagi ramai kawan-kawan meninggalkan  sekolah lamanya.

Alhamdullillah , tadi baru saja dia berjanji untuk kekal di SESERI sehingga dapat tawaran ke MRSM (edisi rayuan) . Adakah rezeki dia di situ? Maknya , hanya mengia sajalah.

Nurain Nadhirah , belajarlah jatuh cinta pada sekolah baru ini. Mungkin ada hikmahnya Ain terpilih  ke sini.
Tiada buruknya  malah sebuah sekolah yang berbudi . Tak kenal maka tak cinta. Semoga Ain tenang di sini dan dapat belajar dengan baik mengejar cita-cita.

* betapa hati ibu bila mendengar anak menangis  dari jauh. Kalau dekat dah lama mak pergi ziarah. Harap-harap dia ok selepas ni.






06 February 2013

Servis at Perodua

Rugi tadi sebelum datang sini dah makan nasi siap-siap. Perut dah kenyang.
Padahal kat sini ada disediakan makanan . Makan je selagi ada.

Hari ini ada maggi goreng, kuih apam salju(tapi warna kuning), dan kuih onde-onde(nasib baik sempat rasa dah tinggal satu). Air pula ada teh dan cofee mate (3 in 1). Aiskrim pun ada.

Kalau bawa anak-anak sekali asyik dok angkut aiskrim saja.

Mana tak best sebab free.


Pantai Cenang , Langkawi.

Bila menyewa hotel   di Pantai Cenang , pagi , petang , malam haruslah sentiasa kita berada di situ . Sebelah malam sangatlah happening dengan lampu berwarna- warni. Pelancong yang berbagai warna dari seluruh pelusuk dunia.

Bangunan dan prasarana dijaga rapi. Kedai-kedai baru sedang  dibina . Jelas kelihatan sebelah hotel kami.


Berdiri di tepi Pantai Cenang , sambil melihat anak-anak  mata meliar memandang senario di situ. Meriah dan sibuk dengan orang bersuka ria. Ada yang naik banana bot, terbang di awan biru (apa ke nama?), berbasikal di tepi pantai dan yang mandi-manda.

Terbang tinggi .

Cantik.


Di Pantai Cenang juga lokasi jika hendak ke pulau-pulau berhampiran . 
Misalnya ke Pulau Dayang Bunting. Peserta akan diambil di pantai  dengan bot  menuju ke sana.

Kerusi -kerusi pantai di sini dibuka dan ditutup oleh seorang tua yang diberi upah RM 15 sehari.
Sayang , gambar pakcik ni tak ambil pula.

Sewa RM10 sampai jemu. Tapi mesti bertanda misalnya tinggalkan barang kita seperti tuala di atas bangku sebagai tanda ianya bertuan. Duduklah sampai ke petang.

Sebelah gerai tuan punya kerusi-kerusi ada wanita Filipina yang mengambil upah mengurut.
Di sini juga ada kelapa muda dijual dengan harga RM 5 sebiji. 
Serta mee udang RM 6 semangkuk.

Tayang lagi mee udang

Tiba-tiba  terasa sedang berada di luar negara pula 
di Pantai Cenang ni.





05 February 2013

Bali ke Baling?

Tadi ada sorang budak ni cakap, Jumaat  lepas waktu sekolah terus nak pergi Bali. Dalam hati berkata-kata
 " maklumlah cuti raya dastart ". 

"2 ekor kerbau cikgu " kata dia lagi. Dalam hati terfikir lagi . Tak kan nak pergi makan kenduri kat Bali kut. Ada keluarga kat sana ke?

Last-last baru dapat tangkap apa yang budak ni nak bagi tau, nak pergi makan kenduri di Baling bukan Bali. Cikgu yang silap dengar.

Cikgu dah siap bayangkan Air Asia, LCCT dah.

01 February 2013

Langkura Baron , Langkawi

Percaya atau tidak sebelum mendaftar anak di SESERI ,KL kami ke Langkawi dulu.
Balik Isnin malamnya , tukar beg dan berehat sebentar dalam pukul 11 malam pecut ke KL pula.
Padahnya berhenti tidur di R&R sampai 3 kali.

Nasib baik berjalan malam  , kereta tak sesak berbanding di waktu siangnya yang sesak teruk sampai tak boleh masuk di R&R Tapah.Maklumlah cuti panjang.

Sabtu , minggu cuti Thaipusam kami ke Langkawi bersama rombongan Hari Keluarga SEKUGA (SMK KUBU GAJAH) . Seramai 23 keluarga berkonvoi beramai-ramai ke sana. Meriah.

Bila masuk ke jeti Kuala Perlis , orang  punyalah ramai. Tempat parking penuh dari jalan masuk ke jeti lagi. Sistem pengurusan di terminal ini  yang tidak sistematik menyebabkan keadaan bertambah tidak selesa. Penumpang yang nak masuk ke feri dan penumpang keluar menggunakan laluan yang sama.
Amat sesak sekali.

Sudahlah banyak kotak pinggan mangkuk dari Idaman Suri dan Haji Ismail Group (lumrah orang membeli ) yang hendak ditolak serta beg pakaian dan anak-anak kecil yang hendak dijaga.Laluan sempit amat menyukarkan.

Penuh dengan manusia di Jeti Kuala Perlis ke Langkawi.
Delay pula. Kalah naik kapal terbang.
Terjumpa dengan ex-RTBK di sini. Ustaz Yusof .
Anak dia  berbaju merah duduk sebelah Shauqi.
Tapi bila sampai di seberang tak jumpa-jumpa lagi..


Sampai di hotel penginapan , terus  menuju ke pantai Cenang. Cari makan. Perut dah lapar.
Pekena mee udang belakang Hotel Langkura Baron ini. 
Semangkuk ni RM 6.Sikit tak puas makan tapi sedap.
Selain mee udang ada roti kepit daging (apa nama tah?)

Jualan dari lori saja. 
Tukang masak tu yang botak kat belakang.


 Pemandangan dari bilik kami di tingkat 1. Masalah di hotel ini tekanan air rendah waktu puncak . 
Bilik di bawah tiada masalah air , tapi yang duduk tingkat 2 dan 3 meranalah tunggu air.
Nasib baik dia sediakan pili air disediakan banyak di depan bilik di bawah. Boleh tumpang ambil air sembahyang Maghrib .

Bilik kami .
 2  katil kelamin.

Kereta sewa kami. RM60 sehari. 
Rupa tak lawa tapi aircond berfungsi baik. Tak ada masalah bagi saya asal boleh gerak. 

 Cat dah kena resdung. 
No hal lah .

Ada juga minuman disediakan dalam bilik.

Tv.

Pantai Cenang tempat tumpuan pelancong antarabangsa .Eropah, Korea , Jepun. Macam-macam ada. 
Sekali tengok macam senario di Hadyai pula. Waktu malam sangat happening. 

Makanan tentulah mahal di sini . Maklumlah tumpuan dunia.