21 January 2011

ZAKUAN DAN AYU RAUDAH SELAMAT DIIIJAB KABULKAN.

Jang Hyuk Tak Tercabar Dengan Bintang K-Pop


ALOR SETAR, 21 JANUARI 2011: Dengan sekali lafaz, pasangan popular Mohd Zaquan Adha Abd Razak, 23 dan Raudhah Abu Bakar,25, atau lebih dikenali sebagai Ayu Raudhah akhirnya sah bergelar suami isteri, sekitar jam 4 petang tadi.
Bersaksikan ahli keluarga dari kedua belah pihak, sahabat handai, rakan media dan peminat, majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Sultanah Bahiyyah, di sini telah menjadi bukti penyatuan dua sejoli yang menjalin cinta lebih dua tahun lamanya.
Zaquan dan Ayu Raudhah telah selamat dinikahkan oleh Imam Masjid Sultanah Bahiyyah, Tuan Haji Mustafa Kamil Abdul Jamil dengan mas kahwin bernilai RM1,888.
Pihak pengantin lelaki telah memberikan 7 dulang hantaran berbalas 9 dulang hantaran dari pihak pengantin perempuan, manakala jumlah wang hantaran masih dirahsiakan.
Zaquan yang ditemui selepas majlis akad nikah memberitahu, dia masih merasakan debarannya bagaimanapun gembira apabila segala yang diimpikannya kini telah menjadi kenyataan.
"Perasaan saya bercampur aduk, masih berdebar tapi pada masa yang sama gembira. Selama ini pun, perasaan saya ketika beraksi di atas padang sentiasa berdebar, namun debaran yang saya rasakan kali ini sangat berlainan dan impaknya lebih.
"Kegembiraan juga berlainan seperti ketika menjaringkan gol. Kegembiraan saya sekarang adalah ibarat satu kejayaan paling indah dalam hidup saya untuk bergelar suami," jelas penyerang pasukan bola sepak Negeri Sembilan ini.
Sementara itu jelas Ayu Raudhah pula, tiada yang lebih gembira selain dapat bergelar isteri kepada bintang bola sepak kebangsaan yang dicintainya itu.
"Alhamdulillah semuanya sudah selesai, saya harap dengan perkahwinan ini dapat membimbing untuk menjadi seorang perempuan yang lebih bertanggungjawab dan menjadikan saya seorang isteri yang solehah.
Turut hadir dalam majlis akad nikah ini ialah kakak pengantin perempuan, aktres Rozita Che Wan serta abang ipar Ayu, Mazlan Pet Pet.
Sementara Zaquan ditemani kedua ibu bapa serta kembarnya, Aidil Zafuan. Aidil bagaimanapun datang sendirian tanpa ditemani isteri, Rita Rudaini.
Majlis resepsi sebelah perempuan akan diadakan pada malam ini, di Taman Mawar, Alor Setar Kedah manakala bagi pihak sebelah lelaki pada 30 Januari ini di Paroi, Negeri Sembilan.
Portal murai.com.my ingin mengucapkan selamat pengantin baru kepada kedua-dua merpelai, semoga berbahagia ke akhir hayat.


 

2 comments: